Saturday, June 18, 2011

Mabuk darat ke Nuwara Eliya

13 June 2011
"Tu lah baca banyak sangat" Suara Mikhael sayup-sayup masuk ke telinga aku. Itu adalah sangkaan anak ketiga aku apabila aku muntah di pinggir parit besar.
Ketika itu aku masih berteleku dan mengeluarkan sisa sarapan yang aku makan di hotel dan aiskrim yang aku beli di Royal Peradeniya Botanical Gardens. Terasa dunia ini berputar. kepalaku cukup senoneng. Anak aku pula semberono mengeluarkan teori muntah menyebabkan aku tersengih seperti kerang busuk.
Mana tak muntah, jalan menuju ke Nuwara Eliya ini bengkang bengkok macam ular dipalu. Mulanya keadaan boleh dikawal, tapi apabila pemandu kami Ramesh mula membuka tingkap untuk menikmati cuaca sejuk di perjalanan menuju ke Nuwara Eliya tekak aku menjadi semakin tak sedap. Asap diesel dari kenderaan di depan cukup menusuk ke hidung. Tekak menjadi semakin loya. Jadi tak salahlah kalau aku mengeluarkan isi perut aku ke dalam parit. Anak dan isteri selamat sebab awal-awal lagi dah ambil pot masing masing dan mula tidur apabila jalan mula berkoner-koner.


Aku yang duduk dibarisan kedua van ditemani oleh Muadz dan Mizan yang mahu tidur berbaring. Hajat dihati kononnya ingin menghabiskan novel ringan Rindu Yusof Cinta Zulaikha karangan Siti Rozillah tidak kesampaian. Memang benar sebelum tidur Mikhael tahu aku sedang membaca, jadi tak salahlah kalau teori muntah itu terpancul dari mulutnya.
"Papa muntah, anak Ok- ini kali pertama saya bawa kenderaan, orang tua yang muntah" kata pemandu yang beragama Kristian Katolik itu kepada aku. Aku tersenyum dan mendiamkan diri sambil memejamkan mata dengan harapan agar kami sampai segera ke hotel di Galway Forest Lodge.
3 jam sebelum itu.
Selepas check out dari hotel kami menikmati suasana pagi di Peradeniya Botanical Gardens kira-kira setengah jam dari hotel penginapan kami. Taman Botani ini dijadikan sebagai tempat pengambaran pengantin. Mungkin kerana bunga-bunga dan tumbuhan yang sangat besar dan cantik boleh menjadi fokus lensa jurufoto seperti Saiful Nang ataupun anak murid beliau Hj. Din Kota Tinggi :).

No comments:

Post a Comment