Saturday, June 18, 2011

Menunggang gajah di Pinnawala

12.June 2011
Hari ini kami perlu meneruskan perjalanan ke Kandy. Jarak antara Colombo ke Kandy tidaklah jauh. Mungkin sekitar 120km. Akan tetapi, aku terbawa kunci Palm Beach Hotel. Oleh itu kami terpaksa berpatah balik ke hotel untuk memulangkan kuncinya. Nasib baik perjalanan kami masih tidak jauh dari hotel dan nasib baik jugalah aku mendapat driver yang tak membebel.
Kami singgah di Pinnawala untuk menikmati kawasan penjagaan gajah-gajah liar yang tidak berkeluarga - anak gajah yang yatim piatu dibawa kesini untuk di jaga dan dilindungi. Ada antara gajah ini hanya tinggal 3 kaki kesan dari terkena bom kesan perang saudara di utara Sri Lanka. Kami melihat bayi gajah yang sebesar aku ini dijaga dan dilindungi oleh sekumpulan gajah yang lebih besar.
Kemudian kami mengambil kesempatan menaiki gajah bernama Jumbo. Mikhael dan Muadz tidak mahu menunggang gajah -akulah yang terpaksa menggantikan mereka. Ini pengalaman pertama aku menunggang gajah. Rasa otot-otot aku yang berlemak ini berdenyut-denyut dan menjadikan peha aku cramp - kena kangkang besar sangat untuk naik kebadan gajah ini. Aku menjadi gayat apabila gajah ini turun kesungai untuk minum air - sudah pasti kerana aku takut tempat tinggi. Rasa macam nak terjun dari gajah ini. Hatiku berdegus "Lepas ini tak perlulah bergajah kerana aku bukanlah keturunan sultan zaman dahulukala". Pastinya Cik Yah tersenyum kerana berjaya mendera aku..
Perjalanan kami diteruskan ke Kandy - ibu negeri untuk kerajaan kesultanan Singhalese di tahun 1592 yang terletak di 1600 kaki di atas paras laut. Kandy yang terletak di tengah-tengah Sri Lanka adalah antara bandar paling cantik di pulau ini. Kandy dikelilingi dengan gunung ganang yang membawa pesona dan tradisi kehidupan rakyat Sri Lanka zaman berzaman. Kandy ini adalah UNESCO Tapak Warisan Dunia seperti Penang dan Melaka.

No comments:

Post a Comment