Friday, May 6, 2011

Semoga kau berada ditaman-taman syurga

Tanggal jumaat 6.Mei 2011 - Ku tinggalkan dulu travelog ku di Eropah...




Kuala Selangor - Air mata mula bergenang di kelopak. Kereta Putihku yang bercermin gelap diberhentikan di tepi jalan. Melintas jalan dan meniti parit untuk sampai ke tujuan. Di rumah tersebut, sekumpulan warga lelaki sedang mengangkat doa memohon rahmat dari Yang Esa. Ramai juga warga yang tidak dapat masuk kerumah mengangkat tangan berdoa dari luar rumah. Sudah selesai solat jenazah. Usai doa, warga lelaki beramai-ramai mengangkat sekujur tubuh yang kaku kedalam kotak kayu.
Kotak itu diangkat ke dalam sebuah van sumbangan Tabung Haji. Pak Imam memimpin bacaan Al Fatihah dan memberikan sedikit tazkirah.
Mata mencari dimana Mak Usu. Kelibat beliau bersama dengan 2 anak perempuannya dapat aku perhatikan dari sisi anak mata. Aku bersalaman dengan beliau, air mata tiba-tiba mula membasahi pipi Cik Yah. Cik Yah mencari sepupunya 2 wanita muda tersebut untuk menyampaikan salam takziah dan kiriman salam dari keluarga yang tidak dapat hadir. Air mata semakin deras membasahi pipi kedua-dua saudara. Beginilah suasana saat kita kehilangan orang yang disayangi.
Van terus laju meninggalkan kami dibelakang menuju kesebuah masjid di Pokok Asam Kuala Selangor. Sampai di Masjid kami mula menunaikan kewajipan solat jenazah sekali lagi dan memberi peluang kepada sanak saudara yang tidak sempat berbuat demikian dirumah simati. Selesai penggalian tapak semadian, keranda dimasukkan perlahan-lahan keliang lahat. Bacaan talqin memecah suasana. Taburan bunga dan air mawar sungguh memilukan.
Benarlah kata pujangga.. Hidup ini dimulakan dengan tangisan, pertengahan juga ada tangisan, dan akhir hayat juga diiringi dengan tangisan.
Doaku hanya satu..Semoga kau Pak Usu akan dihimpunkan dengan para solihin di taman taman syurga. Al Fatihah untuk mu

No comments:

Post a Comment